Monday, September 26, 2011

Bangkitlah!!

Ya Allah.. Permudahkanlah..

Beginilah rupanya dunia perniagaan. Pelbagai karenah manusia aku temui satu persatu. Ada yang mengaku kawan, tapi.. kawan waktu senang sahaja.. waktu kita susah, hilang entah ke mana.. Ada yang berwatakkan alim, tapi hakikat tak menunjukkan yang peribadinya adalah seperti panampilan yang dibawa. Allahuakbar!! aku tahu engkau sedang menguji aku ya Allah. Hanya satu aku mohon padamu ya Allah, tetapkanlah hatiku untuk agamamu dan sentiasa mentaatimu.

Aku bersyukur padamu Ya Allah, dalam waktu ujian yang sedang engkau berikan ini, engkau telah mempertemukan aku dengan seorang sahabat yang cukup hebat. Aku sangat bersyukur ya Allah. terlampau banyak ilmu yang aku perolehi daripadanya. Berdasarkan pengalamannya dia telah mengajar aku bagaimana caranya untuk bangkit semula daripada jatuh yang menyakitkan.

Terima Kasih Ya Allah, walaupun kebangkitan yang aku akan lakukan ini memerlukan tempoh yang agak panjang, tapi akan aku gagahi jua demi masa depanku, keluargaku dan umatmu di muka bumi ini. Aku menyedari akan kesilapan lalu dan aku akan berusaha sekuatnya untuk mengelak daripada melakukan kesalahan yang sama di masa hadapan.

Rabbi Yassir Wala Tua'assir, Rabbi Atmim Bilkhaer Ya Allah..

Sunday, September 4, 2011

Nafas Syawal

Syawal 6, 1432 / September 4, 2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Pengasih;-

Alhamdulillah, masih lagi diberi oleh Allah yang Maha kuasa untuk melangsungkan segala tanggungjawab yang telah ditaklifkan oleh-Nya. Belum terlewat rasanya untuk saya ucapkan Salam Eidulfitri Mubarak, Minal Eid Wal Faizin, Kullu Sanah Waantum Toyyibin.

Ramadhan telah meninggalkan kita untuk yang kesekian kalinya. Apa yang hanya mampu kita lakukan kini hanyalah menyerahkan segala tugasan yang telah kita lakukan sepanjang ramadhan tersebut kepada Allah untuk disemak dan diberi penilaian. Semoga hasil penilaian tersebut menatijahkan keputusan yang cemerlang. Semuanya untuk kita di mahsyar kelak. amin.

Terasa masa ketika ini berlalu dengan begitu pantas sekali. Walhal detik saat dan minit berputar mengikut tradisinya tanpa cuba mensabotaj manusia dengan berputar secara pantas atau sebaliknya. Ya benar, setiap manusia diperuntukkan dengan 24 jam sehari,  oleh yang demikian agihkanlah waktu tersebut dengan sebaiknya. Dalam kesibukan menjalani tugasan harian, diam tak diam dah hampir 8 bulan blog ni tak di update. Apa yang menyedihkan, dari hayat blog ini mula diwujudkan sehingga kini, hanya dua entri sahaja dapat dimasukkan. Sebenarnya ada  entri yang telah di compose tapi belum lagi sempat nak buat editing. Banyak perkara yang berlaku sepanjang 8 bulan ini yang boleh dikongsi bersama. Saya akan cuba untuk entri tersebut dimasukkan segera.

Esok tugas di pejabat akan bermula seperti biasa. Ya semangat Ramadhan dan nafas Syawal akan digunakan sebaiknya untuk meningkatkan produktiviti. Usai saja solat Isya' sebentar tadi sempat juga membuat semakan jadual untuk sepanjang bulan september ni. Allahuakbar! bulan yang penuh rencam. Bengkel, Konvensyen, Rutin prosiding, Program bersama NGO, Program masyarakat, Urusan perniagaan.. semuanya telah diletakkan pada hari-hari yang berkenaan. Semoga segalanya dapat disempurnakan dengan baik. Tidak sesekali mengaggap perkara-perkara tersebut sebagai beban, kerana telah tertanam di dalam minda ini pesanan guruku bahawa tidak akan sekali-kali Allah memberikan tanggungjawab kepada hambanya diluar dari kemampuannya. InsyaAllah, akanku ingat perkara tersebut sampai ke hujung nyawa.

Bersempena ketibaan Syawal 1432h hijrah ni, Saya rasa lega sangat sebab segala tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan dalam komuniti dapat diselesaikan dengan baik, walaupun hakikatnya mungkin tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Dengan senggangan waktu yang terbatas, itulah kemampuanku untuk melunaskan segala tugasan.

Seronok bila dapat bersama dengan rakan-rakan belia menghidupkan ramadhan. Semangat mereka merutinkan tadarus al-Quran di Masjid setiap selepas solat asar, kemudian Iftar bersama, diteruskan dengan solat sunat tarawikh & santai bersama sambil mengudap hidangan moreh yang cukup sederhana. Di akhir ramadhan, bersama-sama menghidupkan sepuluh malam terakhir, mengacau dodol tradisi untuk diagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik, dan diakhiri dengan bertakbir disepanjang malam aidilfitri. MasyaAllah!! cukup indah!!  suasana yang hanya boleh ditemui di dalam bulan ramadhan sahaja. Doaku semoga perkara seperti ini dapat diteruskan oleh adik-adik generasi akan datang.


Peserta Tadarus Belia Kg. Sg. Kelambu, Banting. 


Bersama dengan rakan-rakan mengacau dodol.

Syawal kali ini juga kita semua dikejutkan dengan kematian salah seorang peserta Misi Bantuan Kemanusiaan Somalia yang merupakan jurugambar daripada BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor. Niat murni seorang wartawan untuk membuka mata dunia bagi membantu rakyat somalia diakhiri dengan tragedi serangan hendap yang mengorbankan dirinya. Didoakan agar keluarga Allahyarham tabah dan seterusnya didoakan juga agar roh Allahyarham tenang bersemadi dan tergolong sebagai golongan yang beriman. Ini juga boleh dijadikan sebagai peringatan kepada kita bahawa nyawa kita boleh diambil bila-bila masa. Persoalannya adakah sudah cukup persediaan kita?. Semoga kejadian ini dapat untuk sentiasa mengingatkan kita kepada kematian dan seterusnya dapat meningkatkan amalan kita semua.

wallahuaa'lam.. Wassalam.




Monday, January 3, 2011

Lembaran Baru






Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Selepas hanya lebih kurang 25 hari umat Islam mengalukan kehadiran Tahun Baru 1432 Hijrah, Masyarakat dunia secara bersederhana telah menyambut pula kehadiran Tahun Baru 2011. Situasi yang hampir sama bagi tahun sebelumnya yang mana Tahun Baru 2010 hadir selepas hanya lebih kurang 15 Hari Tahun Baru Hijrah.

Meminjam kata A.F Ustaz Mohd Yusoff Sinong di dalam kuliahnya, beliau menyatakan: "Tahun Hijrah ada disebutkan dalam al-Quran dan begitu juga dengan Tahun Masihi, oleh yang demikian adalah tidak adil untuk mendakwa bahawa tahun masihi adalah hanya untuk diraikan oleh penganut Kristian".

Saya bersetuju dengan kenyataan tersebut, menyambut Tahun Baru 2011 adalah bukan suatu kesalahan. Namun begitu sambutan bagaimanakah yang perlu diadakan. Jika sewaktu tibanya Tahun Baru Hijrah atau lebih tepatnya 1 Muharam, masyarakat Islam lebih cenderung untuk mengadakan majlis seperti bacaan Surah Yasin, Menganjurkan Solat Hajat, dan hampir kesemua masjid dan surau menyediakan penceramah yang hebat untuk mengimbau sejarah Maal Hijrah. Namun berlaku sebaliknya bila tiba Tahun Baru Masihi, tiada acara atau majlis seumpama sambutan Maal Hijrah dianjurkan, yang ada hanya program-program lebih menjurus kepada hiburan yang melalaikan.


(Gambar Hiasan)

Sampai bilakah kita akan melihat anak muda bercampuran antara lelaki dan perempuan merempit di jalanan, berpeleseran di tepian pantai di awal waktu pagi, berdua-duaan di kawasan yang gelap dan sunyi serta pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah yang cuba dilakukan. Adakah ini yang dimaksudkan oleh mereka sebagai sambutan Tahun Baru?

Pengalaman mengikuti satu operasi mencegah maksiat malam Tahun Baru 2010 di sekitar kawasan Lembah Kelang adalah suatu yang amat memberi pangajaran. Sekitar jam 1.30 pagi, usai sahaja melakukan rondaan, kami membuat pemeriksaan di sebuah hotel bajet, hasil pemeriksaan apa yang ditemui adalah suatu perkara yang amat memeranjatkan!! seorang lelaki yang masih muda remaja berumur 17 tahun bersama dengan pasangannya yang juga masih teramat muda berumur 15 tahun sedang bermadu kasih di dalam sebuah bilik hotel tersebut. Bayangkanlah, dalam usia yang muda ini mereka sangat berani melakukan suatu perkara yang tidak bermoral, ini baru 1 pasangan yang dapat dikesan, pastinya banyak lagi pasangan di luar sana yang menjadikan malam tahun baru sebagai malam untuk mengorbankan teruna dan dara.

Persoalannya di sini, di manakah ibu bapa mereka? adakah mereka tidak sedar akan perlakuan anak teruna dan gadis mereka di malam tahun baru? mungkin sebahagian daripada ibu bapa memberi keizinan kepada anak mereka untuk menyambut tahun baru, tetapi tidakkah mereka membataskan masa dan rakan untuk tujuan tersebut? Ya betul, ibu bapa mestilah 'sporting', tetapi ada cara dan tempatnya....

Jika kita perhatikan laporan-laporan media massa, sekitar bulan september, oktober, november dan disember setiap tahun pastinya laporan berkenaan dengan pembuangan bayi adalah meningkat dengan mendadak. Jika dilihat kebelakang 9 bulan daripada bulan-bulan tersebut, 9 bulan sebelum november dan disember adalah bulan febuari, apa yang ada dalam febuari ialah HARI KEKASIH (Valentine Day). Begitu juga 9 bulan sebelum bulan september, pastinya januari, TAHUN BARU. Saya tidak menolak bahawa faktor-faktor Tahun Baru dan Valentine day itu adalah penyumbang kepada peningkatan gejala pembuangan bayi. Semuanya adalah disebabkan kegagalan untuk menerapkan nilai murni agama Islam dalam kehidupan.

Kesimpulannya, acap kali hadirnya tahun baru, pastinya setiap daripada kita akan memasang azam untuk melakukan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Apalah kiranya, kita bersama menambah azam untuk sentiasa menyuruh manusia untuk melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kerosakan / kemungkaran, oleh yang demikian semoga kita tergolong dalam golongan sebaik-baik umat.

Wallahua'lam..

Saturday, December 18, 2010

Blog?




Pertamanya dan untuk selamanya ku panjatkan kesyukuran ke hadrat ILAHI kerana dengan kuasa-Nya telah memberikan aku segalanya dalam kehidupan. Jua tidak kulupakan kepada Nabi MUHAMMAD s.a.w, selawat dan salam ku abadikan untuknya.

Setelah sekian lama aku mendengar istilah 'blog', baru saat ini aku terbuka untuk mendalami apakah yang dimaksudkan dengan istilah tersebut. Terasa amat ketinggalan bila gagal untuk menggunakan platform ini bagi tujuan kebaikan.

Pernah kusuarakan hasrat untuk membina akaun blog kepada seorang sahabat baikku seorang bakal cikgu dan merupakan blogger terkenal, Namun kekangan masa antara kami telah membataskan kami untuk tujuan tersebut.

Pada awalnya, aku berfikir apakah 'entry' yang boleh aku 'post' dalam blog ni, sebabnya hampir semua blogger dah 'catch-up' isu-isu di dunia ni. Akhirnya aku melihat satu ruang yang boleh dijadikan 'entry' iaitu berkenaan tugasku yang sentiasa berhadapan dengan cabaran. InsyaAllah, akan aku kongsikan apa yang sepatutnya dikongsi bersama.

Untuk akhirnya, Aku menganggapkan diriku ini sebagai "Budak Baru Belajar", oleh kerana itu aku mohon kepada rakan blogger sekelian agar dapat membantu aku dalam bidang ni. Wallahuaa'lam.