Monday, January 3, 2011

Lembaran Baru






Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Selepas hanya lebih kurang 25 hari umat Islam mengalukan kehadiran Tahun Baru 1432 Hijrah, Masyarakat dunia secara bersederhana telah menyambut pula kehadiran Tahun Baru 2011. Situasi yang hampir sama bagi tahun sebelumnya yang mana Tahun Baru 2010 hadir selepas hanya lebih kurang 15 Hari Tahun Baru Hijrah.

Meminjam kata A.F Ustaz Mohd Yusoff Sinong di dalam kuliahnya, beliau menyatakan: "Tahun Hijrah ada disebutkan dalam al-Quran dan begitu juga dengan Tahun Masihi, oleh yang demikian adalah tidak adil untuk mendakwa bahawa tahun masihi adalah hanya untuk diraikan oleh penganut Kristian".

Saya bersetuju dengan kenyataan tersebut, menyambut Tahun Baru 2011 adalah bukan suatu kesalahan. Namun begitu sambutan bagaimanakah yang perlu diadakan. Jika sewaktu tibanya Tahun Baru Hijrah atau lebih tepatnya 1 Muharam, masyarakat Islam lebih cenderung untuk mengadakan majlis seperti bacaan Surah Yasin, Menganjurkan Solat Hajat, dan hampir kesemua masjid dan surau menyediakan penceramah yang hebat untuk mengimbau sejarah Maal Hijrah. Namun berlaku sebaliknya bila tiba Tahun Baru Masihi, tiada acara atau majlis seumpama sambutan Maal Hijrah dianjurkan, yang ada hanya program-program lebih menjurus kepada hiburan yang melalaikan.


(Gambar Hiasan)

Sampai bilakah kita akan melihat anak muda bercampuran antara lelaki dan perempuan merempit di jalanan, berpeleseran di tepian pantai di awal waktu pagi, berdua-duaan di kawasan yang gelap dan sunyi serta pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah yang cuba dilakukan. Adakah ini yang dimaksudkan oleh mereka sebagai sambutan Tahun Baru?

Pengalaman mengikuti satu operasi mencegah maksiat malam Tahun Baru 2010 di sekitar kawasan Lembah Kelang adalah suatu yang amat memberi pangajaran. Sekitar jam 1.30 pagi, usai sahaja melakukan rondaan, kami membuat pemeriksaan di sebuah hotel bajet, hasil pemeriksaan apa yang ditemui adalah suatu perkara yang amat memeranjatkan!! seorang lelaki yang masih muda remaja berumur 17 tahun bersama dengan pasangannya yang juga masih teramat muda berumur 15 tahun sedang bermadu kasih di dalam sebuah bilik hotel tersebut. Bayangkanlah, dalam usia yang muda ini mereka sangat berani melakukan suatu perkara yang tidak bermoral, ini baru 1 pasangan yang dapat dikesan, pastinya banyak lagi pasangan di luar sana yang menjadikan malam tahun baru sebagai malam untuk mengorbankan teruna dan dara.

Persoalannya di sini, di manakah ibu bapa mereka? adakah mereka tidak sedar akan perlakuan anak teruna dan gadis mereka di malam tahun baru? mungkin sebahagian daripada ibu bapa memberi keizinan kepada anak mereka untuk menyambut tahun baru, tetapi tidakkah mereka membataskan masa dan rakan untuk tujuan tersebut? Ya betul, ibu bapa mestilah 'sporting', tetapi ada cara dan tempatnya....

Jika kita perhatikan laporan-laporan media massa, sekitar bulan september, oktober, november dan disember setiap tahun pastinya laporan berkenaan dengan pembuangan bayi adalah meningkat dengan mendadak. Jika dilihat kebelakang 9 bulan daripada bulan-bulan tersebut, 9 bulan sebelum november dan disember adalah bulan febuari, apa yang ada dalam febuari ialah HARI KEKASIH (Valentine Day). Begitu juga 9 bulan sebelum bulan september, pastinya januari, TAHUN BARU. Saya tidak menolak bahawa faktor-faktor Tahun Baru dan Valentine day itu adalah penyumbang kepada peningkatan gejala pembuangan bayi. Semuanya adalah disebabkan kegagalan untuk menerapkan nilai murni agama Islam dalam kehidupan.

Kesimpulannya, acap kali hadirnya tahun baru, pastinya setiap daripada kita akan memasang azam untuk melakukan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Apalah kiranya, kita bersama menambah azam untuk sentiasa menyuruh manusia untuk melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kerosakan / kemungkaran, oleh yang demikian semoga kita tergolong dalam golongan sebaik-baik umat.

Wallahua'lam..

1 comment: